Politik di Malaysia tidak pernah sunyi begitu lama. Tidak lama lagi, Pilihanraya Negeri di lima buah negeri akan mencuri perhatian para pengundi. Maka kita akan sekali lagi ditenggelami oleh kebanjiran maklumat yang mengelirukan. Ramai yang akan menjadi mangsa dan ketika itu jugalah sikap kurang berhati hati akan merugikan kita semua.
Telah banyak diperkatakan tentang masa depan UMNO. Para propagandis musuh akan sentiasa memperlekehkan parti politik tertua di tanahair ini dan merencana kebencian ramai terhadap parti yang telah bertanggungjawab menyemarakkan semangat nasionalisme di tanahair ini. Matlamat akhir mereka adalah supaya para pengundi akan menolak UMNO.
Pemilihan parti yang baru selesai telah sedikit sebanyak mengurai kekusutan yang melanda UMNO. Ramai yang melihat bahawa berakhirnya pemilihan telah membawa sinar mentari pagi yang berlainan sama sekali kepada parti ini. Ia seperti memberi semangat untuk bekerja kuat dan meninggalkan pertikaian yang tidak menguntungkan sesiapa kecuali musuh musuh yang ada.
Musuh musuh yang sentiasa mencari ruang untuk merobek kekuatan UMNO pasti akan menyerang Datuk Seri Presiden kerana dalam politik menggunakan taktik ‘ikan rosak dari kepala’ akan sentiasa diperkuatkan. Bagi mereka, jika imej Presiden rosak, maka rosaklah parti keramat ini. Sememangnya setiap Presiden UMNO terpaksa mengharungi duri dan ranjau dari pihak lawan.
Selain Presiden, Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) juga tidak akan dibiarkan untuk terbang tinggi oleh musuh musuh parti. Musuh musuh UMNO kini mendapati bahawa mereka kini perlu berhadapan dengan Tok Mat, seorang sosok politik yang bukan calang calang keupayaannya. Mereka pasti akan menyerang Tok Mat yang begitu meyakinkan ketika menjawab soalan soalan di parlimen sebagai Menteri Pertahanan. Kejayaan Tok Mat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sudah cukup meyakinkan bahawa UMNO mempunyai kepimpinan yang berkemampuan.
Maka adalah malang sekiranya rakyat tertipu dengan dakyah dan propaganda kebencian yang disemai terhadap UMNO. Jika ini berterusan, negara akan kehilangan para pemimpin yang berwibawa untuk membangun negara.
