UMNO DAN PERJUANGAN MENGGUNAKAN AKLI

1. Sama ada sedar atau tidak, selepas PRU14 UMNO tidak berkubur seperti ramai yang meramalkan. Kebangkitan parti Melayu ini begitu cepat apabila memenangi 7 PRK berturut turut atas bendera BN. Ini diikuti dengan kemenangan ‘hebatnya’ dalam PRN Melaka. Kejayaan ini berlaku tatkala mantan Presiden dan Presiden sedia ada sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah. Jika ia boleh menang dalam keadaan sukar, maka bayangkanlah apa yang boleh dicapainya tanpa halangan-halangan tersebut.

2. Dalam tempoh hanya 22 bulan, UMNO telah kembali menjadi kerajaan dengan perkongsian bersama PAS dan PPBM serta beberapa ahli parlimen dari PKR yang mencari jalan keluar. Tidak lama selepas itu UMNO mencipta satu lagi kejayaan apabila Naib Presidennya dilantik menjadi Perdana Menteri Kesembilan. Atas faktor tersebut UMNO perlu bersyukur dan jangan terpedaya dengan dakyah pepecahan yang cuba dibawa oleh anasir dari luar.

3. Dalam kebangkitan ini, yang paling unik dan rumit adalah setiap pemimpin tertinggi UMNO mempunyai peranan yang berbeza sama sekali. Ini menyukarkan kerana tidak semua ahli akan faham. Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi pujian kerana atas ketegasannya UMNO tidak berjaya diganggu gugat dalam usaha musuh melemahkan parti. Begitu juga peranan Datuk Seri Mohd Najib yang sentiasa berjuang demi kemenangan parti di setiap PRK dan PRN. Bebanan yang ditanggung oleh mereka bukannya kecil. Dalam kepayahan mereka menentukan UMNO tidak karam, ada juga suara-suara yang kurang enak yang begitu kritikal tentang pertuduhan yang mereka hadapi.

4. Cabaran untuk Datuk Seri Ismail Sabri juga tidak kurang besarnya tetapi ia datang dalam bentuk yang berlainan. Perlu diingat bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada setiap rakyat Malaysia dan kenyataan yang dibuatnya mesti menunjukkan kepentingan bersama tanpa mengira latarbelakang kaum ataupun parti. Ramai yang tidak memahami bahawa sebahagian besar masanya kini dipenuhi dengan peranannya sebagai Perdana Menteri dan bukannya Naib Presiden UMNO. Justeru, apabila beliau bercakap tentang perkongsian, kebersamaan dan perpaduan, bukan bermaksud bahawa kecintaannya pada UMNO berkurangan tetapi atas kapasiti sebagai seorang Perdana Menteri. Kerana itu janganlah mudah termasuk dalam perangkap musuh yang memutarbelit kenyataan Ismail Sabri untuk memecah-belahkan UMNO.

5. Saya mengambil contoh peranan saya sebagai guru apabila anak saya juga berada dalam kelas yang saya ajar. Pasti pengajaran saya adalah untuk semua murid dalam kelas tanpa ada keistimewaan kepada anak sendiri. Peranan saya sebagai seorang ayah yang penyayang di rumah akan bertukar menjadi guru yang prihatin dan tidak kurang penyayang kepada 34 orang murid di dalam kelas itu. Apabila memberi markah ujian, saya perlu berlaku adil dan jika murid-murid lain mendapat markah lebih daripada anak saya, dia perlu menerimanya dengan hati yang terbuka kerana di dalam kelas, saya adalah guru kepada 34 orang murid dan bukannya ayah kepada dirinya seorang.

6. Saya melihat ramai yang cuba menangguk di air yang keruh dan cuba menyerang Ismail Sabri tanpa memahami situasi sebenar. Ada juga yang mengeluarkan hujah melalui video yang didorong oleh emosi. Bertenanglah semua kerana Ismail tahu apa yang dilakukannya. Lebih penting daripada itu, UMNO perlu bersatu hati untuk menghadapi PRU15.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *