
Banyak yang telah diperkatakan tentang nasib UMNO selepas PRU 15. Walaupun UMNO sebenarnya telah kalah, ia masih mampu menubuhkan kerajaan bersama kerjasama dengan PH.
Meskipun kini menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan perpaduan, Timbalan Presiden UMNO Dato Seri Mohamad Hasan mengingatkan ahli ahli parti supaya menyedari hakikat bahawa UMNO sebenarnya telah tewas dalam PRU 15. “Kita perlu sedar yang kita telah kalah. Jangan sekali-kali berlagak seperti orang yang telah menang”, nasihat ahli parlimen dari Rembau itu.
Yang tersirat dari apa yang diperkatakan oleh Mohamad Hasan ialah hanya apabila kita menyedari bahawa kita telah kalah, barulah kita boleh mengambil langkah langkah untuk menang. Kajian yang menyeluruh perlu dilakukan supaya UMNO tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
Selama ini UMNO tidak berpijak di bumi nyata. UMNO hidup dalam angan-angan dan kehebatan masa lampau. Pelbagai isyarat menunjukkan bahawa UMNO tidak mendapat sokongan sejak kebelakangan ini tetapi tiada langkah-langkah berkesan yang diambil untuk membendung kegelinciran ini.
Penawar kepada kekalahan UMNO ialah titah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong agar UMNO mempertimbangkan langkah menubuhkan kerajaan bersama PH. Walaupun pada awalnya UMNO telah bersedia untuk menjadi pembangkang, namun kuasa Allah tiada siapa yang boleh menghalang.
UMNO perlu bangkit dari lena yang panjang ini.