
14 Jan 1976. (sumber : FB Najib Razak)
Masa berlalu begitu cepat. Sudah 46 tahun arwah ayahanda Tun Razak meninggalkan kita.
Saya dalam awal 20-an masa itu. Beberapa minggu sebelum pemergian arwah ayahanda, baru saya diberitahu akan isu kesihatannya yang sudah kritikal.
Terkejut, bercampur bimbang dan banyak berdoa agar akan bertambah baik.
Arwah ayahanda tidak mahu kita risau atau terlalu bimbang.
Arwah ayahanda hanya mahu fokus kepada kerjanya, kepada kebajikan rakyat, kepada masa yang ada dengan keluarga.

Arwah ayahanda ke saat dan nafas akhirnya, tetap menyayangi kita semua.
Sepanjang perkhidmatannya sebagai pemimpin negara, saya juga banyak mengikuti perkembangan dan cara pentadbiran.
Selain kebajikan rakyat dan pembangunan luar bandar, arwah ayahanda juga amat mementingkan hubungan diplomatik.
Bagi ayahanda, hubungan yang erat dengan negara-negara luar akan dapat memudahkan perdagangan, pelaburan dan pendapatan.
Memberikan peluang pasaran kepada produk Malaysia, membuka peluang pekerjaan dan pendapatan dengan pelaburan yang masuk, meningkatkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa.
Pendekatan dan prinsip pentadbiran ayahanda mempengaruhi ketika saya memimpin negara juga.

Pembangunan Malaysia. Kebajikan Rakyat. Hubungan diplomatik erat.
Satu ketika dahulu, pembangunan Malaysia amat menyeluruh di bandar dan luar bandar.
Menjadi destinasi pilihan pelabur. Kita hidup aman, damai dan makmur.
Kita perlu kembali kepada formula yang akan membawa kita ke landasan pembangunan.
Semoga roh arwah ayahanda dan bonda sentiasa dicucuri rahmat dan bersama mereka yang beriman.
Al-Fatihah.