
Walaupun Pilihanraya Umum telahpun lama berlalu tetapi angin pilihanraya seperti masih bertiup kencang di bumi tercinta ini. Begitu teruja sekali musuh-musuh UMNO dalam usaha untuk cuba merosakkan perpaduan yang kembali bertaut dalam parti yang banyak berjasa ini.
Sejarah menunjukkan bahawa serangan musuh masih bersandarkan kepada strategi ‘ikan busuk dari kepala’ yang digunakan sejak dari zaman Pak Lah lagi. Bagi mereka, jika kepercayaan orang-ramai terhadap kepimpinan tertinggi mampu dirosakkan, maka runtuhlah UMNO.
Terbaru muncung serangan musuh tertumpu kepada Timbalan Presiden Dato Seri Mohamad Hasan dalam usaha menimbulkan keraguan terhadap parti. Usaha dibuat untuk melagakan Presiden dan Timbalan Presiden. Matlamat tersembunyi mereka adalah untuk memecahbelahkan hubungan kedua pemimpin tertinggi parti.
Tok Mat masih boleh tenang dalam serangan bertali arus terhadapnya. Seorang pemimpin yang matang seperti Tok Mat tidak akan termakan umpan untuk merosakkan parti.
Beliau bukanlah seorang pemimpin yang akan membiarkan emosi membuat keputusan untuk dirinya kerana tindak tanduknya diputuskan oleh akli yang waras.Beliau tidak akan tergoda dengan bisikan-bisikan suara kekalutan. Kata bijak pandai, ‘apabila kita perlu membuat keputusan, jangan biarkan emosi yang melakukannya’.
Ada yang menabur fitnah bahawa Tok Mat telah menjadi penakut sejak menjadi Menteri Pertahanan kerana tidak berani bersama sama dengan kumpulan penentang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ironis sekali kenyataan ini. Apakah pernah seseorang dianggap penakut kerana tidak menentang ketuanya sedangkan banyak kisah sejarah menunjukkan keruntuhan sesuatu bangsa atau empayar disebabkan disebabkan kegelojohan untuk merebut kuasa?
Lucu juga fitnah yang mengatakan bahawa Tok Mat membiarkan PKR dan DAP melebar kuasa di Negeri Sembilan menjelang PRN akan datang. Siapa sahaja yang mengenali Tok Mat akan mengetahui sifat ketegasannya ketika berdiskusi yang melibatkan pengagihan kerusi. Bertolak ansur dan merugikan UMNO? Tidak sama sekali. Jangan bermimpi di siang hari.
Pada akhirnya kita hanya akan menyesali keputusan yang kita buat hanya kerana kita telah diperdayakan oleh mereka yang sentiasa bermain dengan emosi. Jangan berani tetapi bodoh tindakannya. Bak kata pepatah ‘Berani sendok pengedang, air hangat direnanginya’.