SIAPAKAH PAHLAWAN SEBENAR DI MELAKA?

Sumber gambar: Berita Harian

1. ‘Besar’ adalah perkataan yang membawa konotasi yang amat berbeza oleh mereka yang menggunakannya. Saya teringat akan kata-kata JK Rowling “Jika kita mahu menilai seseorang, lihatlah bagaimana ia melayan mereka yang dibawahnya, bukan mereka yang setara dengannya.” Lalu jika ditanya karektor politik mana lebih besar di Melaka pada saat ini, maka jawapan saya tidak timbul soal ‘lebih’ kerana cuma ada satu karektor besar di bumi Hang Tuah itu.

2. Mempunyai jawatan politik yang sama pada satu ketika dahulu (beliau Setiausaha Kerja UMNO dan saya Seiausaha Kerja Bersatu) , saya berpeluang mengenali Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh dengan lebih dekat. Bagi saya Rauf adalah seorang wira yang tidak didendang.

3. Kemelut politik pra PRU 14 mengheret saya kesana sini lalu membuka ruang untuk saya mengenali pelbagai sosok politik termasuk di Melaka. Sedang Idris Haron begitu sibuk dan seronok dengan jawatan besarnya sebagai Ketua Menteri, Rauflah yang bersusah payah untuk memastikan bahawa bahtera yang sedang bocor tidak akan karam.

4. Jadi apabila saya melihat kritikan Idris terhadap kepimpinan UMNO Melaka, saya berasa bahawa itu adalah amat tidak adil dan tidak bertanggung jawab. Tindakan Idris adalah satu pengkhianatan yang bukan kecil. Mengapa baru sekarang Idris bercakap tentang hendak menyelamatkan parti sedangkan beliau merupakan antara faktor penyumbang terbesar kepada kejatuhan BN di Melaka semasa PRU 14 dahulu? Idris mungkin terlupa bagaimana susahnya untuk bertemu dengannya ketika beliau menjadi Ketua Menteri dahulu. Saya masih teringat perasan hairan saya apabila melihat Idris gemar menyanyi dan menari di pentas dalam program-programnya menjelang PRU ketika itu. Rauf dilihat seperti sang bapa yang cuba membetulkan segala kesilapan yang dilakukan oleh sang anak yang terlupa akan diri.

5. Hebatnya Rauf ialah beliau tidak pernah sekali pun memberi kenyataan yang berbaur negatif tentang Idris walaupun beliau sedar bahawa cabaran besar menantinya dan UMNO di Melaka dek kemarahan orang-orang Melaka ketika itu. Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang bermain di fikirannya.

6. Bagi saya, Rauf mempunyai ramuan yang diperlukan untuk mendapat kepercayaan rakyat dan pengundi Melaka semula. Berbanding dengan Idris, Rauf adalah seorang pemimpin yang amat rendah hati dan mudah didekati. Beliau adalah pemimpin rakyat yang berjiwa rakyat.

7. Jika ditanya apakah kehebatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Melaka ini yang paling besar, maka jawapan saya ialah kebolehan menyesuaikan diri dengan audiencenya. Pada awal mengenalinya saya gemar mendengar celoteh dan lawaknya dengan masyarakat kampung. Namun celotehnya itu disulami dengan nasihat yang amat berguna.

8. Pada satu petang ketika sedang duduk dan minum kopi bersamanya, saya terkejut dengan kebolehannya mengupas isu-isu rumit dengan mengaitkan teori dan dan kata-kata hikmah daripada orang-orang yang hebat. Ia sama sekali berlainan dengan watak Rauf yang saya kenali ketika berceramah di kampung-kampung. Ternyata beliau adalah seorang yang suka dan banyak membaca. Berbual dengannya seperti berada di perpustakaan yang sarat dengan buku dan ilmu pengetahuan. Ia memberi ilmu yang amat berguna.

Tidak susah mengenali siapakah pahlawan sebenar di Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.