SENI STRATEGI DALAM BERPOLITIK

1. Ramai yang berkata bahawa untuk berjaya kita memerlukan strategi tetapi bagi saya strategi itu cuma komoditi tetapi perlaksanaan itu merupakan seni yang begitu menarik sekali. Menurut Constantinos Markides, Profesor Strategic leadership di London Business School “Visi dan strategi sahaja tidak mencukupi. Kunci strategi yang berjaya ialah seni dalam melaksanakannya.” Dalam dunia politik Malaysia, saya melihat ramai dalam kalangan politikus kita terjun ke kolam politik tanpa mempunyai seni dalam berstrategi. Kerana itu ada diantara mereka yang pada awalnya berjaya terapung tetapi lama kelamaan tenggelam juga.

2. Di awal Melayu mengenali politik moden sehingga awal 80an, politikus yang dianggap hebat adalah mereka yang pintar berpidato dan berjaya menarik perhatian setiap kali berhujah walaupun hujah itu tidak menjanjikan kualiti yang tinggi. Kebosanan rakyat terhadap perbalahan politik pasca PRU14 yang beebentuk konfrontasi dan tidak berkualiti baik di media sosial atau dalam parlimen menjadikan ranking para pemimpin di mata rakyat berubah dengan begitu mendadak sekali. Saya melihat keluh kesah rakyat dengan kebosanan yang sudah tidak dapat dibendung lagi lalu berpandangan bahawa rakyat ketika itu mencari pemimpin yang tidak berkonfrontasi atau banyak beromong kosong tetapi komited dengan tugas yang diamanahkan.

3. Justeru pada ketika itu saya beranggapan bahawa antara Ahli Parlimen yang disenangi ramai adalah (tanpa mengira parti) Ismail Sabri, Mahdzir Khalid, Dr Zulkefli Ahmad, Nurul Izzah, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Takiyuddin Hassan. Saya melihat Ismail Sabri dan Mahdzir Khalid dengan jawatan mereka di dalam parti mempunyai kelebihan untuk menjadi Perdana Menteri yang baik kerana mereka berdua ahli parti yang taat tetapi menawarkan suatu kelainan. Saya lalu menulis tentang mereka berdua kerana pada pandangan saya disebabkan kekalutan politik ketika itu menjadikan karektor berhemah mereka meletakkan mereka dalam keadaan ‘disenangi’ ramai. Malah saya pernah berkata kepada beberapa orang rakan bahawa “Beri perhatian pada Ismail Sabri dan Mahdzir Khalid. Mereka mempunyai ciri ciri pemimpin yang dicari ketika ini.” Saya menekankan ungkapan ‘ketika ini’ kerana ‘setiap masa mempunyai pemimpinnya dan setiap pemimpin ada masanya’. Masa menyebelahi Ismail Sabri ketika itu dan telahan saya menjadi kenyataan.

4. Bagi saya mereka yang bijak membaca masa akan mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding lawannya. Tindakan yang salah pada masa yang salah akan hanya mengundang bencana. Ramai pemimpin politik kita tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan ‘the perfect timing’. Malahan ahli-ahli yang kita pimpin boleh menjadi penghalang utama bagi kita, bukan kerana strategi kita salah tetapi masa yang salah. Kita perlu memahami bahawa tindakan yang betul pada masa yang salah tetap akan membawa kepada kegagalan. Itu sebabnya saya mengatakan bahawa ‘setiap masa ada pemimpinnya dan setiap pemimpin ada masanya’. Seorang pemimpin pada hari ini tidak semestinya diterima keesokkan harinya kerana esok membawa cerita yang berlainan.

5. Saya melihat ramai para pemimpin politik kita mempunyai cita-cita yang tidak kesampaian kerana mereka tidak mempunyai seni dalam melaksanakan strategi. Begitu juga dengan parti-parti politik yang ada di Malaysia. Hampir semua parti politik mendakwa mempunyai pakar strategi tetapi sedikitpun saya tidak teruja dengan ‘pakar-pakar’ mereka ini. Menganggap bahawa fitnah merupakan strategi paling berkesan adalah satu kesilapan kerana fitnah bersifat jangka pendek dan ia mempunyai kesan sampingan yang amat berbahaya kepada parti pemfitnah sendiri. Tun Mahathir suka akan strategi ini dan sering berjaya menewaskan musuh-musuhnya. Bukan kerana beliau mahir dalam strategi tetapi kerana musuh-musuhnya tidak ada penasihat dalam seni berstrategi. Saya yakin bahawa Anwar Ibrahim sudah lama menjadi Perdana Menteri jika mempunyai penasihat yang betul. Saya juga berasa KJ mempunya harapan untuk menjadi Perdana Menteri tetapi tidak dengan UMNO.

6. Menurut Arnold H Glasow seorang penulis Amerika, “Do what’s right, the right way, at the right time”. Seperti kata Kareem Abdul Jabbar ” Saya cuba lakukan apa yang perlu dilakukan pada masa yang betul. Selalunya ia kelihatan terlalu remeh atau kecil tetapi itulah yang membezakan antara kejayaan dan kegagalan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *