
Pemandangan pagi itu sungguh mengkagumkan. Dari jauh saya melihat awan menari nari di antara bukit bukau yang kebiruan. Tergambar kedamaian di hati walaupun kehadiran saya di situ adalah atas temu janji kesihatan. Terlupa sejenak kerisauan yang wujud di sanubari ini.
Setibanya saya di hospital Rembau yang baru itu, saya terpukau dengan kecanggihan peralatan di hospital itu sendiri. Saya turut tersentuh dengan keramahan setiap kakitangan dari doktor sehinggalah kepada pekerja kebersihan di situ. Ketika menanti urusan pendaftaran dijalankan, saya terkenangkan arkitek pembangunan Negeri Sembilan iaitu bekas Menteri Besar Dato’ Seri Mohamad Hasan (Tok Mat).
Begitu banyak yang telah dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO itu untuk Negeri Sembilan selama beliau menjadi Menteri Besar di negeri yang penuh beradat ini. Saya teringat betapa gusarnya rakyat Negeri Sembilan apabila BN tewas dalam PRU14 dan Tok Mat tidak lagi menjadi Menteri Besar. Lucu juga bila mengenangkan Menteri Besar yang baru, Aminuddin Harun yang ke hulu ke hilir merasmikan projek projek yang telah dimulakan hasil sentuhan dan cetusan Tok Mat. Lembu punya susu sapi yang mendapat nama. Namun itu audah menjadi lumrah dunia.
Apa yang lebih menarik tentang kepimpinan Tok Mat ialah beliau telah berjaya untuk mengubah wajah Rantau yang diwakilinya itu daripada sebuah pekan sepi (sleepy town) kepada sebuah pekan yang pesat membangun. Jika dahulu mereka yang datang ke pekan ini adalah kerana mencari barang barang usang atau ikan ikan sungai, kini Rantau adalah seperti pekan pekan lain yang moden. Ramai yang mendapat rahmat daripada kepesatan Rantau. Ramai pula penduduknya yang mendapat peluang mencari rezeki di pekan Rantau ini.
Namun yang jauh lebih penting daripada itu ialah keunikan Rantau dalam memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Jika mahu melihat kebersamaan masyarakat berbilang kaum hidup dalam rukun dan damai, maka Rantau merupakan contoh yang paling baik. Bagi penduduk Rantau, Tok Mat bukan setakat wakil rakyat mereka. Beliau adalah harapan buat mereka. Di Rantau, semua orang tahu Tok Mat adalah wakil rakyat untuk semua kaum dan beliau telah berjaya menyempurnakan banyak permintaan penduduk yang berbilang kaum. Penduduknya seperti telah diajar untuk hidup seperti dalam suatu keluarga yang besar dan menerima antara satu sama lain. Tidak hairanlah Tok Mat tetap menjadi pilihan pengundi dalam setiap PRN atau PRK di Rantau sejak 2004.
Semoga Rantau terus menjadi contoh kehidupan masyarakat berbilang kaum yang sebenar.
Konsep keluarga Malaysia dha ada di Rantau rupanya!!!.Tahniah kepada masyarakat Rantau & juga pemimpin mereka yg berjaya memupuk semangat Perpaduan.Semoga diteladani Kita semua.About time Pemimpin2 yg ada rekod & penilaian Nasional diangkat menjadi pemimpin & yang dha terlanjur tu sebaiknya berehat Jika serious dalam memperkasakan semula Malaysia.