MERENUNG UMNO DI RAMADHAN INI.

Jika Politik boleh diibaratkan sebagai suatu permainan, maka ia adalah permainan yang amat aneh sekali. Musuh dalam politik ada di mana- mana. Terkadang-kadang musuh politik penuh dengan kepura-puraan dan langsung tidak mahu mengiktiraf kebaikan yang dilakukan oleh musuh mereka. Namun dalam politik, musuh dan kawan tidak pernah kekal dan saling berubah-ubah.

Kita berasa amat hairan mengapa sebuah parti yang berkonsepkan Islam tidak mahu mengiktiraf pengorbanan dan kejayaan UMNO dalam memperjuangkan Islam sejak mula ia ditubuhkan. Sesekali, PAS janganlah terlalu bersifat negatif terhadap setiap apa jua yang dilakukan oleh UMNO. Yang baik sokonglah. Bukankah kita sama-sama Islam? Mengapa pula yang ditonjolkan semua yang negatif? Berbaik sangkalah kerana ini membawa kebaikan kepada semua.

Sejak merdeka, UMNO yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan, telah melakukan banyak perkara demi keutuhan dan kemenjadian agama Islam . Adalah mustahil untuk menyenaraikan semua yang telah dilakukan oleh UMNO kerana jumlahnya terlalu banyak. Dari sudut ekonomi sehinggalah kepada pendidikan, begitu banyak yang menitikberatkan Islam.

Demi menjaga kesucian Islam, agama Islam telah dijadikan sebagai agama resmi negara ini. Beratus masjid telah didirikan di seluruh negara dan pelbagai bantuan diberikan kepada masjid dan surau-surau yang ada. Apa saja yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menggganggu gugat agama Islam akan diambil tindakan. Semasa UMNO memerintah, tiada kompromi terhadap perkara yang menyentuh soal Islam. Pengetahuan Agama Islam dijadikan salah satu subjek di sekolah. Atas usaha UMNO jugalah Malaysia telah menjadi contoh sebuah negara Islam yang berjaya.

Lembaga Urusan dan Tabung Haji telah ditubuhkan bagi memudahkan simpanan rakyat dalam urusan mereka yang hendak menunaikan fardu haji di Mekah. Ianya menjadi model yang baik dan dijadikan contoh kepada negara lain. Tidak lupa juga penubuhan Bank Islam dalam menentukan urusan perbankan yang Islamik dan kompetitif.

Maka adalah baiknya sekiranya PAS membuang jauh perasaan yang melihat UMNO serba tak kena. Berganding tanganlah bersama UMNO untuk terus merencana kejayaan Islam. Lihatlah UMNO sebagai kawan dan tidak sebagai lawan kerana kita bersaudara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *