
Ramadhan mengingatkan saya pada mantan Perdana Menteri Najib Razak dan apa yang dilaluinya di bulan yang mulia ini pada tahun 2018 sebaik sahaja Barisan Nasional tewas dalam PRU yang diadakan pada tahun itu. Apa yang dilaluinya adalah sesuatu yang menyayatkan hati. Daripada seorang pemimpin negara, beliau dilayan seperti pesalah yang tidak pernah berjasa pada agama, negara dan bangsanya. Najib telah dihukum oleh musuh-musuhnya sebelum beliau sempat menjejakkan kakinya di mahkamah.
Dan ketika itulah saya lebih memahami apa yang dimaksudkan sebagai ‘fitnah akhir zaman’. Kemunculan media sosial yang menjadi sebahagian penting dalam kehidupan manusia pada hari ini telah menjadikan seseorang pemimpin itu boleh dijatuhkan dengan sekelip mata hanya dengan memfitnah mereka berulang kali.
Hari ini ingatan terhadap beliau kembali lagi. Saya tidak fikir bahawa wang ringgit dan kekayaan adalah yang dicarinya sehingga terhukum begini. Saya dan rakyat semua sebenarnya kehilangan seorang pemimpin yang mana kebajikan rakyat sentiasa dekat di hatinya. Pernah terfikirkah akan kita apa yang bermain di fikiran Najib ketika ini? Apakah beliau masih memikirkan nasib dan kebajikan rakyat ketika beliau melalui saat-saat sukar sebegini? Adakah kita memikirkan beliau yang pernah satu ketika dahulu memperjuangkan kehidupan yang lebih baik untuk kita?
Janganlah menghukum Najib dengan kata-kata yang melukakan hati dan keluarganya. Benar beliau didapati bersalah di mahkamah. Namun beliau mewarisi sistem yang tidak memungkinkan beliau untuk menang di mahkamah. Sistem ini jugalah yang digunakan oleh pemimpin sebelumnya tetapi Najib tidak pernah mahu menggunakannya untuk menghukum mereka. Ketika bersendirian kini, Najib mungkin akan merenung jauh akan nasib dirinya yang terhukum dengan sistem yang ada. Beliau akan redha dengan apa yang dilaluinya tetapi perjuangan untuk rakyat yang ada dalam dirinya tidak akan luntur.
Maka di Ramadhan yang mulia ini, bukalah sedikit ruang di hati kita untuk merenung dan berfikir akan nasib para pemimpin sejati seperti Najib Razak. Ramai pemimpin Islam yang besar lagi agung pernah melalui saat sukar dek angkara fitnah.