MELAYU TIDAK BOLEH TERUS DISUDUTKAN

‘Jack of all trade, master of none’ adalah peribahasa Inggeris yang merujuk kepada seseorang yang mampu melakukan apa saja tugas tetapi tidak mempunyai kemahiran khusus dalam sesuatu bidang. Seringkali ia digunakan dalam bentuk yang negatif. Kadang-kadang saya terfikir mengapa tidak ia digunakan dalam bentuk yang positif. Namun peribahasa ini boleh kita kaitkan dengan nasib bangsa Melayu. Apa yang tidak dilakukan bangsa Melayu untuk survive di tanah air mereka sendiri? Melayu adalah bangsa yang sangat kreatif. Justeru, menjadi musykil mengapa orang Melayu tidak mampu berjaya ke tahap yang paling tinggi.

Setelah hampir 63 tahun mencapai kemerdekaan, keadaan semakin menyudutkan bangsa Melayu. Jangan percaya kepada dakyah palsu yang Melayu itu ‘malas’ kerana ‘malas’ itu bukan milik sesuatu bangsa tetapi milik kepada sikap manusia. Melayu mempunyai kebolehan yang diperlukan untuk berjaya, jadi mengapakah kejayaan sering meminggirkan bangsa Melayu? Maka, apakah ramuan utama untuk Melayu berjaya?

Pertama, idea. Untuk berjaya segalanya bermula dengan idea. Dan Melayu tidak miskin dengan idea. Idea tidak memerlukan modal tetapi penjajah telah lama mematikan idea bangsa Melayu dengan memomokkan bahawa Melayu tidak setanding dengan bangsa lain bagi menjamin kesinambungan penjajahan mereka ke atas Tanah Melayu. Namun idea ini juga tidak mandatori. Tanpa idea pun ramai bangsa lain yang telah berjaya apabila mereka menggunakan idea orang lain kerana mereka ada modal.

Modal adalah ramuan kita yang kedua.
Ramai dalam kalangan bangsa Melayu yang mempunyai idea tetapi tidak mempunyai modal. Semasa penjajahan, tumpuan ekonomi berlaku di bandar-bandar dan ianya bukan penempatan Melayu. Apabila kita mencapai kemerdekaan, untuk Melayu mendapat kehidupan yang lebih baik, mereka perlu datang ke bandar-bandar demi mencari pekerjaan yang tidak seberapa. Sepatutnya kita bawa kemajuan ke luar bandar supaya ‘modal’ berpindah tangan apabila kemajuan dibawa ke kampung-kampung. Malangnya, kemajuan kampung hanya bermaksud ada bekalan elektrik, lampu jalan, jalanraya yang baik, balairaya untuk mesyuarat kampung, sekolah dan surau. Ia terhenti di situ.

Ramuan seterusnya adalah kebolehan. Malangnya di Malaysia, Melayu yang berkebolehan jarang sekali diketengahkan. Ini ditambah buruk lagi apabila ada pemimpin politik Melayu lebih selesa dikelilingi oleh mereka yang tidak berkebolehan agar mereka nampak gah dalam kumpulan itu. Kita mempunyai seorang pemimpin yang sering mengkritik bangsa sendiri tetapi semua anak-anaknya menjadi kaya raya kerana mendapat peluang dalam bidang ekonomi dan politik walaupun kebolehan mereka amat terbatas.

Ramuan seterusnya pengetahuan. Sistem pendidikan negara kita membekalkan anak bangsa dengan ilmu pengetahuan dan bukannya pengalaman. Ilmu pengetahuan yang diperolehi di bilik darjah berbeza dengan ilmu pengetahuan yang diperolehi melalui pengalaman. Dalam dunia yang mana informasi berada di hujung jari, mendapat deretan A dalam semua subjek tidak membawa sebarang erti sekiranya pelajar itu akhirnya makan gaji bulanan yang tidak seberapa. Kerana itu sistem pendidikan negara perlu dikemaskini dengan meletakkan kemahiran dan kecenderungan murid sebagai keutamaan.

Beranilah membetulkan apa yang silap. Saban hari kita mengharapkan hujan tetapi hanya apabila mendengar guruh, kita sudah takut ditenggelami air.

Leave a Reply

Your email address will not be published.