MELAYU DAN KEMISKINAN

gambar sekadar hiasan.

Saya amat tidak setuju apabila ada pihak yang mengatakan bahawa Melayu miskin kerana mereka malas. Adalah tidak masuk akal mengatakan bahawa bangsa Melayu malas dan suka mencari jalan singkat untuk mencari kekayaan. Hakikatnya kekayaan bukanlah keutamaan bagi orang-orang Melayu. Melayu tidak menganggap kekayaan semestinya akan berakhir dengan kebahagiaan. Justeru kekayaan bukanlah menjadi matlamat utama bagi orang-orang Melayu. Kerana itu Melayu tidak marah jika sekiranya orang lain (baik Melayu atau bukan Melayu) menjadi kaya. Namun Melayu akan marah sekiranya bangsanya dilabel sebagai malas. Pun begitu Melayu tidak boleh membiarkan bangsa mereka ditinggalkan jauh dari sudut ekonomi kerana ia bakal membawa kepada malapetaka yang tidak diinginkan.

PENJAJAHAN MELEMAHKAN EKONOMI MELAYU

Melayu bukanlah bangsa yang tolol dari sudut ekonomi kerana peranan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa abad ke 15 menjadi bukti kehebatan Melayu sebagai pedagang tidak boleh dinafikan sejak dari awal lagi. Era penjajahan melemahkan ekonomi bangsa Melayu, terutamanya ketika penjajahan British. Dari sudut sejarah, terjerumusnya bangsa Melayu ke lembah kesmiskinan adalah atas beberapa faktor. Pertama atas sikap bangsa Melayu sendiri yang tidak mahu bekerjasama dengan British kerana tidak mahu tunduk kepada penjajah yang sentiasa berat sebelah dalam setiap urusan. Bekerjasama dengan British juga membawa maksud ‘akur kepada penjajah di Tanah Melayu’ dan ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana ini akan ditakrifkan sebagai petualang kepada bangsa sendiri.

British pula sentiasa mengetepikan bangsa Melayu daripada laluan ekonomi kerana sentiasa curiga dengan mereka. Kekuatan ekonomi Melayu akan meletakkan British dalam keadaan yang merbahaya. Sementara itu kebanjiran rakyat dari negara China ke Tanah Melayu bermula pada separuh kedua kurun ke 19 hinggalah tahun 1940an. Kelemahan kerajaan Dinasti Qing di China menyebakan berlaku peperangan, kebuluran, inflasi serta korupsi. Ada dua jenis kaum Cina yang lari dari China untuk datang ke Tanah Melayu. Pertama mereka yang lari membawa kekayaan kerana bimbang kerajaan Qing akan merampasnya dan kedua, mereka yang miskin dan lari kerana bimbang akan kebuluran untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Setiba mereka di Tanah Melayu, British memberi peluang berniaga, melombong dan membuka ladang kepada golongan kaya yang mempunyai modal ini dan yang miskin pula menjadi kuli di ladang-ladang British yang dibuka secara haram.
Secara sistematik Melayu dipinggirkan dari peluang dan aktiviti ekonomi kerana memang menjadi dasar British bahawa pembangunan hanya berlaku di bandar-bandar. Melayu yang tinggal di kampung-kampung terus menjalani kehidupan tradisional dengan konsep ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Melayu dipropagandakan oleh British bahawa Melayu belum bersedia memainkan peranan yang penting dalam bidang ekonomi mahupun pekerjaan. Justeru jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dipegang oleh kaum bukan Melayu. Doktrin British ini merendahkan martabat bangsa Melayu. Malangnya sehingga hari ini stigma ‘Melayu malas’ yang didoktrinkan oleh British masih melekat dan diteruskan oleh para pemimpin politik berkepentingan dan kaum lain yang memandang rendah kepada bangsa Melayu.

Bersambung ………..

Leave a Reply

Your email address will not be published.