KERJASAMA UMNO DAN PH : SATU PENILAIAN RASIONAL

Walaupun sudah hampir lima bulan kerajaan Perpaduan ditubuhkan, masih ada pihak kelihatan seperti begitu terkilan kerana mereka gagal membentuk kerajaan. Kehampaan ini dapat dilihat menerusi rentetan komentar negatif yang dimuat naik di media sosial. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada para pemimpin UMNO terutamanya terhadap Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Mohamad Hasan. Jelas sekali bahawa ianya merupakan dakyah dalam menyemai benih kebencian terhadap UMNO dan bekerjasama dengan DAP itu seperti baja untuk menghidup subur kebencian tersebut.

Dalam sejarah politik tanah air, kerjasama sebuah parti Melayu dengan DAP dianggap suatu malapetaka yang langsung tidak boleh diterima. Pun begitu, kerjasama ini bukanlah satu perkara baru dan pernah berlaku sebelum ini. Kerjasama parti politik Melayu dengan DAP telah dimulakan oleh PAS yang dikenali Pakatan Rakyat pada 2008 dan kerjasama ini berlangsung hampir 10 tahun. Kerjasama parti Melayu dengan DAP selepas itu telah diteruskan oleh Parti Bersatu untuk menubuhkan kerajaan pada 2018.

UMNO adalah sebuah parti yang kuat dan mempunyai sejarahnya yang hebat. Maka kebimbangan yang cuba ditimbulkan oleh segelintir pihak dari parti lain akan hubungan ini bersifat premature dan judgemental. Setakat hari ini UMNO berjaya menjadi komponen penting dan kuat dalam kerajaan perpaduan ini.

Jika ingatan kita masih baik, kesediaan UMNO untuk membentuk kerajaan dengan bekerjasama dengan PH ialah atas titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang mahu melihat bahawa kerajaan yang ditubuhkan bersifat lebih komprehensif untuk mewakili semua kaum. Persetujuan UMNO ialah berpaksikan kepada prinsip menjunjung kepada 4 teras yang tidak akan digadaikan iaitu :

  1. Kesetiaan kepada institusi Raja-Raja Melayu.
  2. Agama Islam sebagai agama resmi.
  3. hak istimewa orang-orang Melayu sebagai penduduk asal dipelihara.
  4. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dalam memupuk kerjasama ini,
Sebelum mengkritik UMNO ada baiknya kita bandingkan kerjasama UMNO dalam kerajaan perpaduan ini dan kerjasama Bersatu dengan DAP semasa membentuk kerajaan selepas PRU 14 dahulu. Walaupun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, kedudukan parti Melayu itu amat rapuh sekali dan ini telah menimbulkan kecelaruan terhadap pengaruh bangsa Melayu.

Apakah kita bisa melupakan bagaimana layanan mereka terhadap Dato’ Seri Mohd Najib sebaik sahaja mereka menjadi kerajaan? Ketika Najib diperlakukan semasa bulan Ramadan yang suci, para pemimpin Bersatu mungkin terlupa Najib seorang pemimpin Melayu dan anak kepada pemimpin yang amat berjasa iaitu Tun Abdul Razak. Apakah perlu beliau dilayan dengan begitu teruk sekali? Pernahkah kita lihat UMNO bertindak sedemikian rupa terhadap pemimpin bangsa sendiri? Tidak. Kerana UMNO tidak akan membiarkan mana mana pihak berbuat demikian terhadap bangsanya sendiri. Muhyiddin yang didakwa di mahkamah dilayan dengan baik di bulan Ramadhan ini. Rumahnya tidak digeledah seperti mana yang dilalui oleh Najib.

Ingat tak lagi bagaimana hubungan kaum di negara ini menjadi begitu tidak selesa ketika kerajaan PH dan Bersatu? Kepercayaan terhadap satu sama lain menjadi begitu nipis sekali. Kerana siapa? Begitu mudah mengkritik UMNO tetapi hakikat sebenarnya ialah Bersatu sendiri yang lemah. Pernah lihat perkara seperti itu berlaku sekarang?

Apakah kita masih Ingat lagi bagaimana Timbalan Menteri Pertahanan mereka tiba di majlis resmi dalam pakaian seragam yang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan veteran tentera? Masa siapa? Itu semasa Bersatu. Apakah tindakan pemimpin Bersatu dalam isu ini? Pernah lihat ini berlaku semasa UMNO? Menteri Pertahanan dan Timbalan pun dalam kalangan orang Melayu sekarang ini.

Ingat tak lagi ketika pemimpin Bersatu menjadi Perdana Menteri dan Menteri Pendidikannya dari parti Bersatu tetapi Timbalannya seperti lebih berkuasa. Adakah ini berlaku sekarang? Tidak dan tidak akan mungkin dibiarkan berlaku oleh UMNO.

Justeru ketika hendak memperlekehkan UMNO, cuba lihat ke belakang sejenak. Punca kelemahan terletak pada siapa? Semua kelemahan kerjasama parti Melayu dengan DAP seperti yang dilakukan oleh Bersatu dan PAS tidak akan dilakukan oleh UMNO kerana UMNO adalah sebuah parti Melayu yang terbukti dengan perjuangan kentalnya.

Kerana itu, sebelum menyerang Dato Seri Mohamad Hasan dengan melabelkan beliau sebagai seorang yang telah hilang keberaniannya hanya kerana kerjasama UMNO dengan DAP dalam kerajaan sekarang, perhatikan dahulu kerajaan terdahulu yang terbentuk dengan kerjasama DAP. Apakah keberanian sebenarnya? Ramai orang tidak mampu membezakan keberanian dengan kebodohan. Mohamad Hasan tahu beliau berhadapan dengan siapa dan tahu apa yang hendak dilakukan bila perlu. Apakah bangsa Melayu tergugat sekarang?

Maka tidak hairanlah apabila Bersatu dan PAS mencari UMNO untuk menubuhkan kerajaan bagi membolehkan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir meletakkan jawatan selepas 22 bulan menjadi PM buat kali kedua. Muhyiddin ini jugalah yang telah mensia-siakan peluang untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU 15 tempoh hari disebabkan kesilapan menilai situasi dan kegagalannya mencorak plan kerjasama yang adil untuk membentuk kerajaan.

Jika PAS boleh bertahun-tahun bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, maka janganlah membiarkan hipokrasi menguasai diri dengan menuding jari pada UMNO.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *