
Di setiap negara berdaulat yang mengamalkan demokrasi, terdapat sebuah bangunan untuk wakil-wakil yang dipilih dan dilantik bersidang. Jika di Britain, Westminster menjadi begitu popular, Bangunan Parlimen di Malaysia tidak kurang masyurnya. Siap dibina pada September 1963, ianya merupakan antara bangunan moden yang terawal di Malaysia. Rekabentuknya bercirikan sebuah negara yang progresif dan menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Semasa saya bersekolah, Bangunan Parlimen merupakan destinasi yang wajib dilawati tatkala ada guru yang menganjurkan lawatan ke Kuala Lumpur. Menjadi kebanggaan bagi para pelajar yang tinggal di luar Kuala Lumpur dapat sampai ke Bangunan Parlimen ketika itu. Di sinilah mereka yang dianggap berpendidikan tinggi bersidang dan mencorak pembangunan negara. Melihat kelibat Menteri pun sudah dianggap sebagai satu pencapaian luar biasa. Mereka selalunya terdiri daripada kalangan guru dan para professional yang mendapat pendidikan di luar negara. Tidak hairan mengapa mereka menjadi idola para pelajar ketika itu.
Namun semua itu menjadi kenangan dan kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Kegemilangan 1960an dan 1970an sudah berakhir. Tidak ramai yang akan bercakap perkara yang positif tentang Parlimen kita pada hari ini.
Mana tidaknya ramai sosok yang ada dalam parlimen ini merupakan mereka yang tidak beradab ketika berhujah dan jauh sekali boleh dijadikan idola kepada golongan pelajar. Perbahasan yang berlangsung saban hari di Bangunan Parlimen Malaysia tidak mencerminkan kematangan dan sikap profesional ahli parlimen itu sendiri. Mereka lebih banyak membuang masa dengan bersengketa daripada berbahas. Bangunan Parlimen kita tidak ubah seperti sebuah rimba yang dihuni oleh makhluk perosak. Keyakinan rakyat terhadap perbahasan yang berlaku di Bangunan Parlimen kita semakin condong dan menanti masa untuk rebah. Jika berterusan begini, maka rosaklah negara yang dahulunya kenal dengan adab dan pekerti yang tinggi.

Ungkapan tidak bermakna seperti ‘Tarik Balik!’ ‘Bodoh!’ ‘Oi duduklah!’ ‘Speaker, dia yang mula dulu’ memenuhi setiap kali persidangan dewan. Perlu diingat golongan ini dibayar gaji dan adakah mereka dibayar untuk berkelahi setiap hari di dewan?
Saya masih ingat lagi tidak berapa lama dahulu Datuk Seri Najib diberi ruang dan peluang untuk menjelaskan tentang isu 1MdB yang sedang hangat diperkatakan pada waktu itu. Apabila mendapat berita bahawa Najib akan berucap tentang isu ini, saya bergegas pulang dan duduk di depan tv dengan harapan bahawa ia akan menjawab beberapa persoalan yang ingin saya tahu. Malangnya baru saja Najib hendak berucap, beliau diserang dengan kata-kata yang sama sekali tidak mencerminkan kewarasan. Ungkapan ‘penyamun’ ‘penyangak’ ‘perompak’, ‘janganlah nak tipu, banduan’ dan macam macam lagi memenuhi dewan. Saya begitu kecewa kerana saya beranggapan bahawa inilah masanya rakyat mahu mendengar apa sebenarnya 1MDB dari mulut Najib sendiri. Malangnya peluang itu dimusnahkan.
Inilah yang berlaku apabila kita pilih orang yang tidak beradab dan tidak mempunyai pendidikan yang tinggi menjadi wakil kita di Parlimen. Kerana itu saya memuji langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi ruang kepada sesi PM’s Question Time pada hari selasa untuk menyelamatkan sidang parlimen yang sedang tenat ini. Mujurlah kita mempunyai Mohamad Hasan, Azalina Othman Said (UMNO), Takiyuddin Hassan, Ahmad Fadhly Shaari (PAS), Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah), Anthony Loke (DAP) yang boleh berbahas secara ilmiah dan tidak terbawa bawa oleh emosi untuk bertanya dan menjawab soalan dengan fakta.
Mohamad Hasan adalah contoh ahli parlimen yang sebenar. Beliau menjawab soalan dengan fakta yang rapi dan tidak terpengaruh dengan perangkap yang cuba dipasang oleh pembangkang. Jelas beliau tidak mahu membuang masa dan sikapnya di parlimen menonjolkan kualiti yang ada padanya. Jika semua ahli parlimen kita bersikap profesional seperti Mohamad Hasan, saya pasti ia mampu mengembalikan semula keyakinan yang hilang dalam setiap persidangan di parlimen kita.
Mungkin itu sebabnya ada yang berkata bahawa ‘Quality is never an accident. It is always the result of intelligent effort.’