
Minggu lalu bermulalah sesi persekolahan yang baru dan ibubapa dilihat begitu sibuk menyediakan segala apa yang yang perlu untuk anak-anak mereka. Ibubapa membina harapan yang menggunung tinggi bahawa anak-anak mereka akan berjaya di alam persekolahan mereka yang bakal menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih baik.
Pendidikan dilihat sebagai kunci kepada kemenjadian seseorang individu bermula di zaman kanak-kanak lagi. Malahan pendidikan yang baik boleh membawa sesebuah keluarga keluar dari kepompong kemiskinan mereka. Bagi keluarga yang kurang berada, permulaan persekolahan yang baru merupakan satu cabaran buat mereka. Tambahan pula jika mempunyai ramai anak yang masih bersekolah.
Betullah kata bijak pandai bahawa kita hanya akan lebih memahami kehidupan yang menanti di hadapan jika kita mengambil masa sejenak untuk menoleh dan melihat ke belakang. Sejarah dahulu mengajar kita. Inilah yang menjadi inspirasi kepada Menteri Pertahanan Malaysia Dato Seri Mohamad bin Hasan (Tok Mat) untuk merealisasikan Lembah Ilmunya. Cabaran berulang alik dari rumah di kampung untuk sampai ke sekolah di SMK Tunku Ampuan Durah Seremban dengan menaiki dua buah bas, menonjolkan watak Tok Mat yang cintakan pendidikan.
Justeru ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan beliau telah mengambil langkah langkah untuk mengutamakan pendidikan dalam kalangan anak-anak. Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, beliau telah mewujudkan lembah ilmu yang dibangunkan di Bandar Enstek Nilai. Ianya merupakan usaha mengimbangi antara pembangunan fizikal dan modal insan selain hasrat Tok Mat memperkasa bidang pendidikan bagi melahirkan lebih ramai cendekiawan di negeri ini.
Maka terbinalah institusi pendidikan sama ada sekolah mahu pun pendidikan tinggi seperti sekolah Kolej Tunku Kursiah, Politeknik Nilai, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tingg (AKEPT), Institut Aminuddin Baki dan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) serta Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD).
Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama turut diperkenalkan sebagai insentif kepada pelajar Nageri Sembilan yang berada di menara gading bermula 2006. Insentif ini telah melonjakkan jumlah pelajar dari negeri ini yang memperolehi kelas pertama di universiti. Impian Tok Mat juga menunjukkan hasil di sekolah-sekolah.
Negeri Sembilan telah turut menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan yang dijalankan. Sebagai Contohnya keputusan SPM meletakkan Negeri Sembilan di tangga kedua selepas Putrajaya selama empat tahun berturut-turut.
Hanya jauhari yang mengenal manikam.