HADI DAN IRAMA SUMBANGNYA YANG DITINGGALKAN MASA.

Ketika UMNO dan PAS mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan menubuhkan Muafakat Nasional, ramai yang menarik nafas lega dan mengharapkan agar kerjasama ini berpanjangan. Ramai yang melihat bahawa kerjasama UMNO dan PAS ini telah menyatukan umat Islam di negara ini. Buat pertama kali dalam tempoh puluhan tahun, ahli ahli UMNO dan PAS dapat duduk semeja dan mengetepikan perbezaan antara mereka.

Melalui Muafakat Nasional, UMNO dan PAS menyapu bersih setiap kali Pilihanraya Kecil (PRK) diadakan. Ramai penganalisis politik meramalkan bahawa jika kerjasama ini berterusan Muafakat Nasional akan menang besar dalam PRU15 nanti. Ini amat menakutkan musuh-musuh politik UMNO dan PAS.

Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mula hilang sokongan dengan kelemahan mereka begitu ketara sekali, menjadi amat bimbang.Tan Sri, Mahiaddin Yassin Presiden PPBM, akhirnya mencari jalan keluar untuk menghalang keruntuhan partinya dengan meninggalkan kerajaan PH lalu menubuhkan PN. PPBM menumpang kekuatan UMNO dan PAS untuk membolehkan impian Mahiaddin untuk menjadi Perdana Menteri menjadi kenyataan.

Keterujaan PAS apabila menjadi kerajaan nampak nyata dan dengan sekelip mata terlupa akan agenda lebih besar bersama Muafakat Nasional. Tiba-tiba PAS terlupa bahawa kekuatan yang dimiliki adalah diatas ‘charter’ Muafakat Nasional dan bukannya Perikatan Nasional. Haji Hadi, Presiden PAS dengan pantas terlupa bahawa bahtera yang membawanya ke destinasi sekarang ialah Muafakat Nasional tetapi begitu memaksa agar UMNO menerima PPBM dalam gabungan yang lebih besar. Ini adalah sesuatu yang tidak munasabah kerana mana mungkin UMNO menerima musuh yang mahu membunuhnya berada dalam bahtera yang sama dalam pelayaran yang getir.

Hadi terlupa bahawa PPBM dengan kerusi, yang paling sedikit dan belas ihsan UMNO diberikan jawatan PM dan jawatan jawatan penting dalam kerajaan. Mahiaddin malah mencuri ahli ahli parlimen UMNO yang, melompat ke PPBM. Malahan Mahiaddin melantik mereka yang kalah dalam pemilihan UMNO untuk menjadi menteri sedangkan mereka yang menang diketepikan. Adakah ini melambangkan sikap rakan kongsi yang baik?

Ramai yang boleh membaca matlamat Hadi yang terpesong itu. Keputusan Hadi ini telah menyebabkan ramai para pemimpin PAS menjadi kecewa. Walaupun keadaan nampak tenang, ada dalam kalangan pemimpin PAS tidak senang dengan keputusan Hadi. Mereka melihat Hadi tidak mahu berubah sedangkan norma politik negara telah lama berubah.

Saban hari Hadi mendendangkan irama yang sama dengan mengkritik UMNO tanpa menyedari bahawa iramanya sendiri yang telah lama ketinggalan zaman. Jika Hadi dibiarkan untuk terus berirama sumbang, yang rugi adalah PAS sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *