Terhakisnya sokongan yang dinikmati dalam PRU kali ini menyaksikan UMNO berada dalam satu situasi yang begitu asing dalam perjuangan politiknya. Bekerjasama dengan PN akan menjadikan parti ini seperti meminta minta dan ini tidak sihat bagi sebuah parti sebesar UMNO.
Maka itu Presiden UMNO mengambil jalan lain yang belum diterokai dengan bekerjasama bersama PH yang dihuni oleh musuh ketatnya DAP untuk membentuk kerajaan. Pilihan ini tidak popular dan mempunyai risiko sokongan di masa hadapan.
Ramai yang begitu kritikal dengan mendakwa bahawa keputusan ini adalah bagi menjaga kepentingan Ahmad Zahid Hamidi. Dengan bekerjasama bersama DAP, UMNO dilihat oleh segelintir ahli-ahlinya seperti meninggalkan perjuangan asas parti sendiri. Perlu diingat bahawa apabila asas asas perjuangan diketepikan, parti akan tenggelam.
Apakah benar tindakan Zahid ini mendahulukan dirinya daripada parti sendiri? Zahid mempunyai masa sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membuktikan bahawa tindakannya ini merupakan suatu tindakan yang betul demi kepentingan parti. Justeru beliau perlu membuktikan bahawa strategi ini bisa menutupi kebocoran kepada bahtera UMNO ini. Jika beliau berjaya, parti akan selamat. Namun jika beliau gagal, UMNO akan tenggelam di dasar lautan politik tanpa belas kasihan.
