BERSANDAR HARAPAN PADA MOHAMAD HASAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak pernah menduga bahawa kegagalannya bertemu dengan Raja Salman ketika lawatannya ke Arab Saudi akan diperbesarkan sebagai satu kegagalan oleh pihak pembangkang. Pada hakikatnya mereka yang tidak menyokong kerajaannya akan beranggapan bahawa Anwar cuma seorang wakil rakyat PH-BN. Bagi mereka yang berlainan aliran politik, sengaja tidak mahu mengakui Anwar sebagai Perdana Menteri. Najib, Mahathir, Muhyiddin dan Ismail Sabri mengalami nasib yang sama ketika mereka menjadi Perdana Menteri. Apabila ada pemimpin politik yang suka melihat kegagalan musuh mereka di dalam kerajaan, yang akan rugi sebenarnya adalah negara.

Sejak kebelakangan ini politik di Malaysia telah menjadi sangat buruk. Perlu difahami bahawa walau apapun berlaku, kita tidak boleh mengganggu asas-asas negara dalam bidang ekonomi, kesihatan dan pendidikan. Ianya tidak boleh dipolitikkan demi kemakmuran negara dan rakyat.

Politik telah memburukkan pertumbuhan ekonomi negara ini. Ramai yang tidak sedar bahawa terlalu banyak berpolitik telah merosakkan nama baik kita di mata dunia. Siapa pun pembangkang, adalah bahaya sekiranya telalu berlebihan dengan menuduh bahawa kerajaan kita mengamalkan rasuah. Tidak kiralah siapapun yang menjadi kerajaan. Ia pasti membawa kesan buruk kepada imej dan ekonomi kita di peringkat antarabangsa. Perlu ada perasaan kebertanggungjawaban dalam kalangan ahli politik tentang apa yang boleh diperkatakan di hadapan umum dan apa yang tidak.

Secara jujur, cara pembangkang menyerang Najib dan kerajaannya secara bertali arus telah merosakkan kepercayaan antarabangsa terhadap negara ini dan menakutkan para pelabur untuk datang melabur di negara ini. Pihak China pernah dituduh terlibat dalam perjanjian berat sebelah dengan Malaysia dan kononnya perjanjian-perjanjian ini hanya menguntungkan negara China semasa zaman Najib. Tuduhan melulu yang tidak berasas ini telah merosakkan reputasi negara China dan pastinya kuasa besar ekonomi dunia itu tidak boleh menerimanya. Apabila Najib dan kerajaannya tumbang, banyak kontrak antara China dan Malaysia yang ditangguhkan. Malahan ada yang dibatalkan terus. China diheret sama dalam pertelingkahan politik dalaman Malaysia yang tiada penghujungnya. Pastinya mereka tidak gembira. Suka atau tidak kita perlukan pelaburan dari China. Kita juga memerlukan kerjasama dengan negara-negara Arab yang kaya dengan hasil minyak. Janganlah pertikaikan sumbangan yang diberikan oleh mereka. Mengapakah sumbangan mereka dijadikan bahan untuk kita bergaduh sesama sendiri? Bukanlah mudah untuk memulihkan keretakan hubungan yang kita sendiri ada-adakan. Adalah malang apabila ada golongan pembangkang yang suka melihat Anwar gagal dalam lawatannya ke Arab Saudi dan negara-negara lain. Ini bukanlah tentang Anwar tetapi Malaysia.

Justeru, adalah penting bahawa kita jangan sesekali melakukan sesuatu yang boleh merugikan negara sendiri. Jika kita asyik melakukan ‘pembunuhan karektor’ ahli politik yang hebat, yang tinggal nanti adalah mereka yang tidak berkebolehan untuk merencana bagi kemajuan negara. Secara jujur, tidak ramai ahli-ahli parlimen yang ada di Dewan Rakyat mempunyai kelayakan atau pengalaman untuk memacu ekonomi negara kembali ke landasan yang betul. Rafizi? Beliau terlalu banyak bercakap dan jawapan-jawapannya di parlimen lebih bersifat politik tanpa sebarang fakta yang meyakinkan. Kita perlukan seseorang yang kuat bekerja tanpa bercakap banyak. Orang itu perlu yang terbukti pengalamannya dan mempunyai kemahiran dalam perundingan.

Mungkin sudah sampai masanya Anwar memandang kepada Menteri Pertahanan Dato Seri Mohamad Hasan. Mohamad dilihat sebagai seorang pemimpin yang bersih dan mempunyai pengetahuan ekonomi. Beliau tidak suka menghabiskan masa untuk berbalah dengan musuh-musuh politiknya mengenai isu-isu remeh sama ada dalam atau luar parlimen. Kerana kebolehan yang dimilikinya, beliau kini menjadi sasaran untuk dijatuhkan oleh musuh-musuhnya.

Mohamad perlu dilantik sebagai pengerusi, jika sebuah pasukan ekonomi ditubuhkan. Inilah masanya untuk bergerak ke hadapan. Hanya pemimpin yang berjiwa besar mampu menggilap seseorang sosok di bawahnya untuk menyelamat negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *