
“Banyak kali saya utamakan orang lain daripada keluarga sendiri. Itulah syarat utama untuk menjadi pemimpin politik”, katanya selepas lama mendiamkan diri apabila saya ajukan kepadanya soalan tentang apa yang diperlukan oleh seseorang yang mahu menceburi dunia politik.
“Ketika saya mula menceburkan diri dalam politik, saya menghabiskan wang gaji saya sebagai guru ke arah itu. Ada ketikanya ada orang datang minta tolong dan dalam dompet saya cuma berbaki RM300. Pada waktu yang sama, anak saya datang minta wang untuk keperluan sekolahnya. Namun saya utamakan orang yang datang itu dan saya mencari jalan lain seperti menjadi pengadil bola sepak di hujung minggu untuk menunaikan permintaan anak saya itu. Mujurlah saya ada sijil kelas pertama kepengadilan dari FAM”, jawab Dato Hasim Rusdi, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu.
Beliau mula berjinak dengan politik atas permintaan orang-orang di sekelilingnya dan dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO cawangan Kampung Sawah, Chuah pada usia yang sangat muda. Kerana menjadi guru sekolah di Selangor, beliau terpaksa berulang alik ke Negeri Sembilan untuk aktiviti politik di waktu malam. Bila memerlukan wang, beliau menghabiskan masa di bawah terik matahari untuk menjadi pengadil bolasepak pada hari Sabtu dan Ahad kerana pada ketika itu banyak perlawanan 7 sebelah yang dianjurkan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Lebih daripada politik, UMNO itu satu perjuangan. Kita ingin bangunkan rakyat supaya mereka berjaya. Malangnya ramai dalam kalangan generasi muda sekarang tidak memahami perjuangan dan pengorbanan UMNO. Mereka terpedaya dengan dakyah yang dimainkan oleh pihak lawan di media sosial”, sambungnya lagi.
“Semasa menjadi wakil rakyat, setiap pagi saya bangun memikirkan nasib orang lain daripada nasib saya sendiri. Saya terpaksa menjual kebun demi membantu orang lain yang susah. Tapi tidak mengapa kerana itu adalah sesuatu yang memuaskan hati saya. Politik perlukan pengorbanan. Mujurlah isteri dan anak-anak memahami kerjaya politik saya. Isteri tahu kejujuran dan keikhlasan saya. Jadi itu tidak ada masalah.”, Katanya dengan tawa yang penuh dengan keinsafan dan kepuasan.
“Malahan ketika UMNO tidak lagi menjadi kerajaan, ramai yang datang meminta bantuan daripada UMNO dan kita bantu mana yang boleh. Itulah UMNO. Saya berharap agar orang ramai dapat menilai dengan fikiran yang terbuka pengorbanan yang telah dilakukan oleh UMNO dalam menentukan kejayaan rakyat jelata”, kata Dato Hasim lagi.
Kini UMNO dalam usaha untuk bangun dari dugaan yang dihadapinya. Dato Hasim percaya bahawa apabila rakyat mampu membuat perbandingan dengan hati yang terbuka, mereka akan kembali kepangkuan UMNO, parti politik yang begitu banyak berjasa itu.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden dan Timbalan Presiden diatas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk melantik saya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan. Ini satu penghargaan buat saya. Kepada rakan-rakan yang telah diberi kepecayaan untuk menerajui parti baik di peringkat Cawangan, Bahagian dan Pusat, saya ucapkan syabas dan selamat menjalankan tugas sebaik mungkin kerana hanya dengan melakukan yang terbaik, kita akan berjaya mengukuhkan semula UMNO. Saya pula akan cuba membina ‘jambatan kepercayaan’ bagi menyelami perasaan golongan muda untuk kembali ke pangkuan UMNO”, katanya yang jelas teruja dengan kepercayaan yang ditunjukkan kepadanya oleh pucuk pimpinan parti.